Thursday, December 15, 2011

Kemunculan Imam al-Mahdi. (Part 1)


Terdapat segelintir umat Islam yang salah dalam membuat tafsiran dari Ulama Islam seperti Ibn Khaldun dan Dr. Muhammad Iqbal yang menolak kepercayaan tentang kemunculan Imam al-Mahdi. Tidak terdapat keraguan bahawa terdapat juga umat Nabi Muhammad SAW yang dikurniakan dengan ilham mimpi dan pemerhatian hati nurani tentang pengetahuan terhadap kemunculan Imam al-Mahdi di akhir zaman. Walaubagaimanapun, pembaca harus meneliti dahulu setiap maklumat akhir zaman secara bijaksana dan hikmah, dan tiada paksaan untuk mana-mana individu dalam mempercayai tentang kemunculan Imam al-Mahdi di akhir zaman. 

Harus diakui bahawa terdapat banyak keraguan dan kesamaran yang jelas terhadap bahan-bahan ilmiah di pasaran sekarang tentang kemunculan Imam al-Mahdi di akhir zaman. Ia merupakan suatu 'kisah' dan bukan sepenuhnya terbit dari fakta yang sebenar. Apa yang sepatut dan seharusnya dikaji dan diteliti oleh setiap dari kita adalah petunjuk yang sahih dan benar yang terkandung dalam al-Quran & Hadith. Dengan pendekatan menggunakan 2 sumber ini, kita mestilah bijak dalam membuat hubung kait dalam kehidupan kini yang kita huni di akhir zaman supaya dengan NUR dari Allah, kita dapat membuat gambaran yang sebenar tentang kehidupan yang kita huni sekarang dengan fasa-fasa kedatangan Imam al-Mahdi.

Subjek kemunculan Imam al-Mahdi adalah merupakan subjek terpenting di akhir zaman untuk dikaji dan diselidiki. Di dalam data yang dikumpul dari 2 sumber ini (al-Quran & Hadith), ia memberi gambaran yang jelas tentang integrasi yang jelas terkandung tentang perkara-perkara yang penting yang akan berlaku di akhir zaman, iaitu kembalinya Isa a.s al-Masih yang benar, dan kemunculan agung yang hampir serentak oleh Imam al-Mahdi. Harus diingati, dengan Kebijaksanaan Allah SWT, bahawa Allah SWT telah menciptakan Dajjal al-Massih yang palsu sebagai balasan terhadap orang-orang Yahudi yang kufur kepada-Nya. Misi Dajjal al-Masih yang palsu tidak akan selesai selagi tiada seorang manusia yang mengistiharkan dirinya Al-Masih yang dijanjikan di Jerusalem.

Apa yang pasti, di saat kita bernafas sekarang ini, tidak akan berlaku lagi pengistiharan ini kerana misi Dajjal al-Masih yang palsu belum lagi selesai sepenuhnya. Harus difahami bahawa hanya TINGGAL SATU sahaja lagi dari 4 misi-misi Dajjal al-Massih yang palsu sebelum berlaku pengistiharan agung itu. Antara misi yang sudah berjaya ialah memerdekakan Tanah Suci Jerusalem dari golongan bukan Yahudi (Gentiles), membawa pulang orang-orang Yahudi ke Tanah Suci Jerusalem setelah mereka disingkirkan Allah 2000 tahun lalu dan menubuhkan Negara Haram Israel. Misi terakhir adalah menjadikan Negara Israel sebagai kuasa besar dunia (Zaman Emas sama seperti zaman Nabi Daud a.s & Nabi Sulaiman a.s) yang akan berlaku kurang 40 tahun lagi. Allah Maha Mengetahui. *rujuk Sea of Galilee.

Ketika berjaya melaksanakan keempat-empat misi tersebut, barulah Dajjal al-Masih yang palsu mengistiharkan dirinya al-Masih yang dijanjikan.Maka ketika inilah, saat yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap umat Islam di akhir zaman iaitu ketibaan Imam al-Mahdi seperti yang terkandung dalam Hadith-Hadith berikut:"Dari Abu Hurairah, Nabi Muhammad pernah bersabda: "Jika kamu semua melihat panji-panji hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah mereka walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk."(Hadis Riwayat Ibnu Majah, Abu Nuaim & Al-Hakim)
Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Dunia tidak akan hilang (qiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada keluarga ku (keturunan ku) yang namanya sama dengan namaku". 
(H.R Termizi)

Di dalam buku Jerusalem di Dalam al-Quran karya Sheikh Imran Hosein menyatakan bahawa sekarang ini, fasa Dajjal 'sehari sama seperti sebulan' hampir ke penghujungnya dan fasa Dajjal 'sehari sama seperti seminggu' akan muncul pada bila-bila masa sahaja. Petunjuk yang jelas adalah jika kita ingin mengenalpasti dimanakah Dajjal al-Masih berada adalah dengan melihat siapakah yang berkuasa di dunia sekarang ini. Mungkin fasa 'sehari sama seperti setahun' itu kita dapat mengagaknya adalah Britain kerana ia merupakan kuasa besar dunia Sebelum Perang Dunia dan Pound Sterling menjadi matawang Dunia. Manakala, sudah tentunya dengan NUR dari Allah, kita akan dapati bahawa fasa 'sehari sama seperti sebulan'  adalah Amerika Syarikat yang kerkuasa Selepas Perang Dunia dengan Dollar menjadi matawang dunia. Untuk memindahkan Dajjal al-Masih yang palsu ke negara fasa Dajjal 'sehari sama seperti seminggu', perang yang sama mesti 'diadakan' (iaitu Armageddon?) dan matawang baru mesti 'dicipta' (iaitu Digital Money / Electronic Money.)

Petunjuk lain bahawa kita semakin hampir dengan fasa Dajjal 'sehari sama seperti seminggu' adalah kejatuhan matawang dunia negara fasa Dajjal 'sehari sama seperti sebulan' (Dollar) & hura-hara yang berlaku di Negara-Negara Arab kini yang bakal mencetuskan perang! Persoalannya, dimanakah fasa Dajjal ketika 'sehari sama seperti seminggu'...? Allah Maha Pemurah & Penyayang, kalian tahu jawapannya kerana negara inilah matlamat sebenar kewujudan Dajjal al-Masih yang palsu yang telah memanipulasikan Britain & Amerika untuk merintis jalan ke Negara ini sebagai matlamat utamanya di fasa terakhir akhir zaman. Setelah berakhirnya fasa Dajjal 'sehari sama seperti seminggu', barulah dunia akan menyaksikan kemunculan Dajjal al-Masih di dunia yang nyata. Ini menunjukkan saat-saat ketibaan Imam al-Mahdi semakin hampir yang masanya adalah sesingkat 'seminggu'. 

Ingatlah dalam sebuah hadis yang paling penting bagaimana Baginda Nabi Muhammad SAW telah memberitahu bahawa apabila Dajjal dilepaskan di dunia, ia akan hidup di Bumi selama 40 hari.

Tanya kami; “Berapa lamakah Dajjal akan tinggal di bumi?”, jawab Rasullullah:

“Selama empat puluh (40) hari, satu hari sama seperti setahun, satu hari seperti sebulan, satu hari seperti seminggu dan selebihnya seperti hari-hari kamu sekarang”.Tanya kami; “Ya Rasullullah, ketika sehari seperti setahun, cukupkah kalau kami solat seperti solat sekarang ?”, jawab Rasullullah; “Tidak” tetapi hitunglah bagaimana pantasnya.
(HR Muslim)

Walaubagaimanapun, ketiga-tiga manusia agung ini (Isa a.s, Dajjal, Imam al-Mahdi) tidak akan muncul dalam tempoh 1 hingga 5 tahun lagi kerana beberapa faktor. Pertama, Israel belum lagi meluaskan wilayah takluknya di Negara Arab seperti yang terkandung didalam Taurat (yang ditulis semula) menyatakan bahawa Tanah Suci Jerusalem menganjur dari Sungai Nil di Mesir hingga Sungai Euphrates di Iraq untuk membolehkan al-Massih memerintah Israel. (Sekarang ini anda tahu apakah faktor berlakunya hura-hara di Tanah Arab sekarang ini). Kedua, Israel belum lagi menggantikan Amerika sebagai 'Superpower' Dunia iaitu negara yang memerintah dunia sama seperti Britian & Amerika. Ketiga, tidak ada seorang pun orang Yahudi yang telah mengistiharkan dirinya adalah al-Massih yang dijanjikan untuk orang-orang Yahudi kerana 4 misi yang disebutkan tadi belum lagi dilunaskan.

Dan dengan semua petunjuk dan perkaitan yang dikemukakan inilah menunjukkan juga bahawa Imam al-Mahdi tidak akan muncul lagi dalam tempoh 1 hingga 5 tahun ini kerana (Allah Maha Mengetahui) Imam al-Mahdi akan muncul disaat fasa Dajjal 'sehari sama seperti seminggu' telah berakhir. Harus diingat bahawa kemunculan Imam al-Mahdi adalah selari dengan kembalinya Nabi Isa a.s ke dunia. Kalian tidak dipaksa untuk mempercayai semua ini dan berpeganglah kepada pendapat dan pegangan masing2 untuk tempoh masa 3 atau 4 dekad dari sekarang. 

Rasulullah SAW bersabda: "Bagaimana keadaanmu jika Isa bin Maryam turun kepada kamu dan imammu (al-Mahdi) adalah diantara kamu" (Sahih Bukhari)"Maka ketika ia (Dajjal) membuat seperti itu, tiba2 Allah mengutus Isa Ibnu Maryam, dia akan turun di menara Putih (Al-Mannaratul Baidha) yang terletak di timur Damsyik dengan memakai pakaian (pakaian dasar dan pakaian pelapis) yg dicelup dengan wangi-wangian yang berwarna kekuning-kuningan, sambil meletakkan dua telapak tangannya di atas sayap2 dua malaikat. apabila ia mengangguk-anggukan kepalanya,maka jatuhlah titisan air dan apabila ia mengangkat kepalanya,maka jatuhlah darinya  butir2 mutiara".

Al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu. Sabda Rasulullah SAW :
"Demi Allah yang menggenggam jiwaku. tidak lama lagi Isa putra Maryam akan turun kepadamu sebagai hakim yang adil. Dia akan mematahkan salib, membunuh babi dan memansuhkan Cukai (membatalkan Cukai/AbolishTax), Dan (waktu itu) harta melimpah ruah, sehingga tidak ada seorang pun yang mau menerima zakatnya (zaman tiada seorangpun layak untuk menerima zakat) Dan sehingga satu kali sujud (nilainya) lebih baik daripada dunia seisi nya.
(Riwayat Muslim di dalam kitab Iman hadis 220)

Nabi Isa a.s al-Masih tidak akan kembali selagi mana Dajjal al-Masih yang palsu belum lagi selesai menunaikan misi-misinya dan belum lagi membuat pengistiharannya sebagai al-Masih yang dijanjikan. Dunia hanya mempunyai kurang dari 3 atau 4 dekad untuk menyaksikan peristiwa yang maha agung ini. (*google Sea of Galilee kering). Dengan kemunculan Nabi Isa a.s yang akan membunuh Dajjal dan memusnahkan Yakjuj & Makjuj. Maka setelah tamatnya fasa-fasa kemuculan Dajjal al-Masih yang palsu, Dunia akan ditadbir dibawah sistem Khalifah Islam (Isa a.s & al-Mahdi) yang berpusat di Tanah Suci Jerusalem dan mempunyai matawang dunia yang baru iaitu kembalinya penggunaan Dinar & Dirham. 

Sabda Nabi Muhammad SAW: Akan ada orang-orang yang keluar dari sebelah Timur, lalu mereka mempersiapkan segala urusan untuk al-Mahdi, yakin pemerintahnya.
(Ibnu Majah)
  
Kini terserah kepada anda untuk berpegang kepada mana-mana pendapat tentang kemunculan Imam al-Mahdi, tiada paksaan dalam mempercayai mana-mana pendapat, cumanya disini ianya telah dinyatakan bertepatan dengan al-Quran & Hadis. Terserah kepada kalian untuk menilai. Sekian, bersambung di bahagian kedua yang akan membicarakan secara khusus dan terperinci tentang Kemunculan Imam Mahdi. bahagian ini adalah 'overview' tentang kemunculan Imam al-Mahdi. Insya-allah. Semoga Allah SWT permudahkan.

No comments:

Post a Comment